Tone Excel Puas Hati Dengan Penjualan 30,000 Pek Permulaan WOW! Setakat Ini
PETALING JAYA, 5 Ogos (Bernama) — Tone Excel Sdn Bhd yang ditubuhkan pada 2009, berbangga terhadap pencapaiannya setakat ini apabila berjaya menjual 30,000 pek permulaan WOW! setakat ini.
Ia juga merekodkan purata perolehan RM65 sebulan bagi setiap pengguna, angka tertinggi di kalangan operator prabayar mudah alih dalam negara, manakala kadar pusingan enam peratus.
Pengerusi Eksekutif Syed Kamaruzaman Shahabudin yang gembira dengan pencapaian itu, sedang mengkaji untuk meluaskan rangkaian maya mudah alih itu.
“Kami menyasarkan mempunyai sekurang-kurangnya 15 cawangan dan 250 pusat perkhidmatan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak menjelang akhir tahun,” katanya pada pelancaran rasmi Program Komuniti Mudah Alih WOW!, di sini.
Beliau berkata syarikat itu mempunyai lebih 10,000 anggota setakat ini, menyasarkan 100,000 anggota menjelang Disember tahun ini.
Program Komuniti Mudah Alih WOW! ialah usaha sama antara Tone Excel dan Tune Talk.
Program itu yang memberi tumpuan terhadap perkhidmatan mudah alih prabayar dengan mendapatkan anggota menerusi program rujukan saluran bukan tradisi yang diperkenalkan pada April tahun ini.
Tone Excel kini membuka lapan cawangan dan 120 pusat perkhidmatan WOW! di Malaysia dan merancang membuka pusat-pusat perkhidmatan WOW! di semua negeri bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih baik untuk anggotanya.